Dr. Haron Din wasiat kebumi di US

http://sepahtufan.blogspot.com/2016/09/dr-haron-din-wasiat-kebumi-di-us.html
Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.05 pagi waktu California dan 10.05 pagi waktu Malaysia pagi ini.
Allahyarham yang dalam keadaan koma dan hanya bergantung kepada sistem sokongan hayat, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Stanford San Francisco, California di hadapan ahli keluarganya.
Menurut Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Amerika Syarikat berdasarkan amanat yang diberikan kepada keluarganya jika ditakdirkan meninggal di sana.
Dr. Haron, 76, dilantik sebagai Mursyidul Am Pas pada Mac tahun lalu, menggantikan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah beberapa kali menjalani rawatan jantung di Institusi Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur dan kali terakhir pada 5 April lalu.
Selepas itu, pakar IJN memintanya merujuk ke Hospital Stanford San Francisco di California untuk rawata lanjut, sehingga Allahyarham meninggal dunia pagi tadi.
Beliau yang dilahirkan pada 18 April 1940 di Kampung Bohor Mali, Kangar, Perlis, dibesarkan dalam keluarga yang berpegang teguh kepada Islam dan mendapat didikan awal agama di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali.
Pada usia 22 tahun, Dr. Haron belajar di Kolej Islam Malaysia selama tiga tahun, sebelum menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir pada 1966 hingga 1968 dan memperolehi Ijazah Sarjana Syariah serta Diploma Pendidikan dari ‘Ain Shams.
Selepas mendirikan rumah tangga, Allahyarham dikurniakan lima anak iaitu dua lelaki dan tiga perempuan.
Beliau adalah anak ketiga daripada keluarga yang besar iaitu 10 adik beradik, yang mana dua darinya Ishak Din dan Abu Hassan Din adalah tokoh agama.
Selepas tamat pengajian di Mesir, Allahyarham pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau kembali semula ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah dan memperolehi Ph.D Syariah dengan cermerlang dari Universiti Darul-Ulum Kaherah (1972-1974).
Di tanah air pula, Allahyarham Dr. Haron berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebelum dilantik sebagai Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985) dan 1986 dinaikan pangkat Profesor.
Antara jawatan yang dipegang ketika hayatnya ialah Ahli Majlis Penasihat Syariah CIMB Bank; Ahli Majlis Penasihat Bank Negara Malaysia (BNM); Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti; Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Pembangunan; Pengerusi Majlis Penasihat Syariah RHB Bank; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Public Bank Bhd; Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis; dan Ahli Majlis Penasihat Syariah Muamalah Financial Consulting.
Dalam politik pula beliau menyertai Pas dan pernah menjawat jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat (1975-1983); Ketua Penerangan Pas Pusat; Ahli Majlis Syura Ulamak Pas; Timbalan Mursyidul Am Pas dan yang terakhir Mursyidul Am Pas hingga ke akhir hayatnya.
Beliau juga mengasas pusat perubatan Islam yang diberi nama Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa) Malaysia pada 1988 dan kini mempunyai cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Darussyifa Malaysia pada mulanya beroperasi di kediamannya di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang, sebelum berpindah ke Bandar Baru Bangi yang turut menjadi kediamannya di No. 3, Jalan 1/7D. -- MalaysiaGazette
KLIK LIKE JIKA ANDA RASA PERKONGSIAN INI SANGAT BERGUNA